Fahamilah perasaan suami
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
2010/08/20
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Kurang kemahiran di kalangan isteri memahami dan melayani kehendak suami masing-masing termasuk mempelajari cara mengambil hati pasangan, boleh menjadi antara faktor utama sebagai menjadi mangsa dera suami.
Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof Dr Suradi Salim berkata, selain itu, sikap segelintir isteri yang mempunyai personaliti terlalu pasif, negatif dan sentiasa berasa rendah diri, mendorong pasangan mereka untuk bersikap membuli.
Pada masa sama, beliau berkata, taraf kedudukan sosial atau kelayakan pendidikan yang jauh berbeza antara suami dan isteri juga menjadi antara faktor utama kejadian dera wujud dalam rumah tangga apabila si suami memandang rendah pada isterinya.
“Penderaan yang berlaku juga biasanya berpunca daripada personaliti suami itu sendiri yang memang panas baran dan apabila marah akan menggunakan kekerasan fizikal dengan niat ‘mahu mengajar’ isteri.
“Berikutan itu, jika mahu hidup berkekalan secara aman, isteri boleh berusaha dengan cara belajar memahami perangai suami dan apa yang boleh menyinggung hati suaminya seterusnya mengelak perbuatan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau merujuk laporan Harian Metro sejak beberapa hari lalu yang memaparkan beberapa kisah isteri didera suami masing-masing hingga cedera parah hingga dimasukkan ke hospital.
Terbaru, muka depan Harian Metro semalam melaporkan seorang wanita berusia 40 tahun parah dilibas suaminya dengan sebatang kayu beluti selepas meminta lelaki itu memulangkan motosikal pemberian majikan dan menyuruhnya membaiki motosikal milik sendiri dalam kejadian di Johor Bahru, kelmarin.
Difahamkan, sebelum kejadian itu, si isteri menegur sikap suaminya yang membiarkan motosikal miliknya selepas ia rosak, selain mengungkit masalah kewangan keluarga dihadapi. Nyata teguran berkenaan membangkitkan kemarahan lelaki berusia 48 tahun terbabit sehingga dia mengambil kayu penyendal tingkap di dapur, sebelum meluru dan terus melibas isterinya dengan kayu. Akibatnya, mangsa yang mendakwa sering dibelasah suaminya kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) berikutan retak tulang belakang. Dr Suradi berkata, selain itu, sikap suami yang tidak sedar tanggungjawabnya terhadap isteri serta kurang ilmu dalam melayari alam berumahtangga menjadi punca utama yang mewujudkan perbezaan persefahaman dengan pasangan hingga mendorong isteri menjadi mangsa dera.
Katanya, tekanan yang berlaku dalam kehidupan seharian termasuk masalah di tempat kerja, anggapan suami bahawa isteri tidak cekap menguruskan anak-anak serta masalah kewangan yang wujud, menyumbang kepada punca penderaan terhadap isteri.
No comments:
Post a Comment