MAIM benar remaja kahwin elak bayi luar nikah
2010/08/04
MELAKA: Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membenarkan remaja lelaki termasuk pelajar, di bawah umur 18 tahun dan 16 tahun bagi pelajar perempuan di negeri ini untuk bernikah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata keputusan itu diambil bertujuan mengurangkan kes kelahiran bayi luar nikah di negeri ini, sekali gus membendung kes zina, semakin menular kebelakangan ini.
Katanya, kelonggaran itu bagaimanapun hanya akan diberikan selepas mendapat keizinan daripada Mahkamah Syariah, selain restu keluarga.
"Keputusan ini dicapai hasil resolusi yang dihantar perwakilan pada persidangan menangani gejala sosial yang dilangsungkan, baru-baru ini. Kerajaan negeri berpendirian adalah lebih baik ibu bapa memberi kebenaran kepada anak remaja mereka berkahwin pada usia muda.
"Cara ini lebih praktikal untuk membendung kejadian remaja hamil tanpa nikah dan masalah sosial lain seperti melarikan diri dari rumah,“ katanya selepas merasmikan Seminar Penghayatan Ramadan, Majlis Pertauliahan Amil Zakat Fitrah dan Pelancaran Buku Masjid Negeri Melaka di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Melaka, Datuk Ghazale Mohamad; Mufti negeri, Datuk Wira Rashid Redza Md Salleh dan Pengarah Agama Islam Melaka, Sulaiman Harmain Shah.
Mohd Ali yang juga Pengerusi MAIM berkata, bagi kes pelajar yang sudah hamil pula, kebenaran bernikah tetap diberikan namun kos denda akan ditentukan oleh Mahkamah Syariah.
Beliau berkata, kelonggaran pernikahan itu diberikan selepas mengambil kira 391 kes gejala hamil dan melahirkan anak luar nikah dicatatkan di negeri ini pada tahun lalu selain 174 kes bagi tempoh enam bulan tahun ini.
“Semua kes kehamilan luar nikah itu membabitkan pelajar berusia bawah 20 tahun. Ini harus dicegah bagi mengelak kes berkenaan meningkat," katanya.
Sebelum ini, Mohd Ali berjanji memberikan bantuan sebanyak RM500 kepada pasangan muda yang ingin mendirikan rumah tangga, disusuli dengan penubuhan sebuah sekolah khusus kendalian Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk menempatkan remaja hamil meneruskan persekolahan.
Bagaimanapun, idea menubuhkan sekolah berkenaan mendapat reaksi negatif banyak pihak termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang beranggapan penubuhannya kurang sesuai.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment