Pelajar perubatan mungkin ibu bayi mati
2010/08/20
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PETALING JAYA: Misteri penemuan mayat bayi perempuan dibuang di tebing sungai di Kota Damansara, Ahad lalu hampir terjawab apabila polis mengesyaki ia dilakukan pelajar perempuan jurusan perubatan di sebuah kolej berhampiran lokasi mayat itu ditemui.
Malah, penemuan kain hospital yang digunakan untuk membaluti mayat bayi itu menguatkan bukti ia ada kaitan dengan kolej yang menggunakan kain jenis sama untuk tujuan pembelajaran.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, polis mengesyaki ibu bayi malang itu adalah pelajar kolej perubatan itu kerana menemui kain hospital bersama mayat. “Tempat mayat bayi ditemui berhampiran dengan dua kolej termasuk yang menawarkan kursus perubatan.
“Mayat bayi pula dibalut dengan kain hospital ketika ditemui sedangkan dia tidak dilahirkan di hospital berdasarkan tali pusatnya yang tidak dipotong,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semalam.
Menurut Arjunaidi, polis sudah menjalankan operasi mengesan ibu bayi itu di sekitar kawasan berkenaan namun gagal mengesannya.
“Setakat ini, polis hanya mengambil keterangan daripada pihak pengurusan kolej bagi membantu siasatan kes,” katanya.
Katanya, kemungkinan bayi itu dilahirkan di tempat lain sebelum dibuang. “Hasil laporan bedah siasat mengesahkan bayi malang itu meninggal dunia akibat sesak nafas kerana disimpan di dalam beg selain baru dilahirkan ketika ditemui dan berkeadaan sihat dengan berat 3.5 kilogram,” katanya.
No comments:
Post a Comment