'Jangan jel saya'
Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my
2010/07/14
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR Seorang pekerja firma guaman menangis teresak-esak di Mahkamah Seksyen di sini, semalam selepas dikenakan hukuman bon jaminan berkelakuan baik bercagaran RM3,000 selama tiga tahun atas tuduhan merompak seorang jurutera, dua tahun lalu.
Hakim Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohd Kamal Harman, 30, menukar pengakuan bersalah terhadap pertuduhan itu.
Mahkamah turut memerintahkan Kamal membayar pampasan RM1,000 kepada pengadu dan kos mahkamah RM1,000 dalam masa sebulan.
“Susah saya nak jatuhkan hukuman ringan sebab kamu bukan saja menyamun tapi kamu menyamar sebagai polis, saya tak boleh terima.
“Selepas meneliti rayuan dikemukakan dengan mengambil kira latar belakang keluarga, mengikut Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah, mahkamah dengan ini bersetuju dan membenarkan tertuduh dikenakan bon jaminan berkelakuan baik RM3,000 selama tiga tahun dengan syarat yang ketat.
“Saya harap lepas ini kamu jaga emak kamu baik-baik dan saya beri kamu peluang terakhir serta tidak mahu jumpa kamu lagi di mahkamah selepas ini,” katanya yang menangguhkan selama setengah jam prosiding sebelum membuat keputusan itu.
Terdahulu Kamal yang hadir ke mahkamah bersama ahli keluarganya merayu sehingga menangis teresak-esak di dalam kandang tertuduh memohon mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara dan sebat terhadapnya.
“Tolong jangan penjarakan saya. Saya ada dua anak berusia 5 tahun dan 7 bulan serta isteri yang sedang mengandung.
“Tambahan pula, ayah saya ada menghidap sakit jantung yang kronik yang memerlukan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) setiap bulan dan mak saya sakit kencing manis.
“Jika saya dipenjarakan saya akan kehilangan kerja, saya merayu yang arif,” katanya berulang-ulang kali pada prosiding semalam.
Selepas mahkamah kembali bersidang, Zainal meminta ahli keluarga tertuduh ke hadapan dan memberi peluang ibu tertuduh berkata sesuatu sebelum hukuman dijatuhkan.
“Saya mohon kepada Yang Arif dia dikenakan hukuman ringan, saya yakin dia sudah menyesal dan akan berubah,” kata ibunya sambil menangis.
Tertuduh kemudian bersalaman dan memeluk ahli keluarganya sambil menangis selepas Zainal memberi kebenaran dia bertemu dengan keluarganya.
Mengikut pertuduhan dia didakwa secara bersama dengan seorang yang masih bebas, merompak sebuah telefon bimbit jenama Nokia N707, wang tunai sebanyak RM250 dan mata wang asing AS351 (RM1123.20) milik Dzulfadly Johare, 28, di tempat letak kereta Menara Orked, Bandar Baru Sentul di sini, pada jam 6 petang, 30 Disember 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment