Teater Lat dipentas ke seluruh negara
2011/04/10
KUALA LUMPUR: Penerbit Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM), Hans Isaac, berhasrat membawa pementasan itu menjelajah seluruh negara termasuk Singapura selepas mencatat kejayaan luar biasa sepanjang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini.Pementasan yang berakhir Selasa lalu itu berjaya mengumpul 30,000 penonton menerusi 21 pementasan, sekali gus mencatat jumlah penonton terbesar untuk produksi tempatan pernah dipentaskan di Istana Budaya. Kejayaan LKBSM itu mengatasi pencapaian Puteri Gunung Ledang The Musical yang merekodkan 24,000 penonton menerusi 18 persembahan pada 2006.
“Perbincangan akan dibuat minggu depan untuk membawa pementasan LKBSM di Stadium Indera Mulia, Ipoh selain menanti tawaran daripada pengurusan Esplenade, Singapura yang turut menyatakan minat membawanya ke negara itu,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam.
Hans berkata, keinginan membawa LKBSM ke seluruh negara didorong keazamannya supaya lebih ramai peminat seni di luar Kuala Lumpur menghargai naskhah itu.
“LKBSM adalah lambang kesungguhan seorang anak tempatan untuk menghasilkan produksi bertaraf antarabangsa biarpun beliau terpaksa berdepan pelbagai kekangan termasuk masalah penajaan,” katanya.
LKBSM diinspirasikan daripada perjalanan hidup Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat dan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya mulai 16 Mac hingga 5 April lalu.
Pencapaian menarik jumlah penonton tertinggi itu meletakkan LKBSM sebagai antara pementasan tempatan yang mempunyai jenama kuat selain Muzikal P Ramlee, Muzikal Tun Mahathir dan Cuci The Musical.
Kartunis Lat sebelum ini mengakui berpuas hati dengan kualiti pementasan muzikal arahan bersama Hans dan Harith Iskander itu, malah memuji lakonan serta aspek nyanyian dan tarian yang ditonjolkan barisan pelakon LKBSM.
Berita Harian dan New Straits Times adalah akhbar rasmi pementasan LKBSM.
No comments:
Post a Comment