Ibu sokong batal nikah
2010/10/14
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam, diberitahu Shamsuddin Che Deraman, 41, atau Sudin Ajaib yang menikahi Siti Zubaidah Hussin, 11, turut terbabit mengahwinkan anak perempuannya berusia 10 tahun dengan seorang lelaki dikenali sebagai Azhar.
Saksi kedua plaintif, Rohana Ibrahim, 34, berkata, defendan kedua yang juga suaminya menikahkan anak perempuannya itu dengan seorang lelaki tidak dikenali selain tidak memaklumkan pernikahan itu kepadanya.
Katanya, dia menyokong tindakan membatalkan pernikahan antara Siti Zubaidah dengan suaminya seperti dikemukakan ibu kepada kanak-kanak itu, Siti Sarnan Mat Ail, 42, dengan alasan pernikahan kedua-dua pasangan itu tidak sah.
Menurutnya, dia juga tidak bertemu suaminya itu sejak sekian lama menyebabkan semua perbelanjaan harian termasuk persekolahan anak menggunakan wang pemberian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kira-kira RM400 sebulan.
Pada prosiding itu, saksi pertama plaintif, Ramli Mat Ail, 50, yang juga bapa saudara Siti Zubaidah turut menyokong tindakan memfailkan tuntutan mufarakah terhadap anak saudaranya itu dengan Sudin Ajaib kerana pasangan itu tidak sepadan.
Selain itu, Siti Zubaidah juga didakwa masih bawah umur, tidak dapat memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri selain dia berkeyakinan anak saudaranya itu belum baligh ketika dinikahkan dengan Sudin Ajaib.
Kedua-dua saksi plaintif terbabit berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Siti Azzah Rahmat dan Nordiana Mohd Noor pada prosiding perbicaraan tuntutan mufarakah yang dibuat terhadap Siti Zubaidah dengan Sudin Ajaib di hadapan Hakim Abdullah Man.
SITI AZZAH: Sekarang ini kamu masih isteri Shamsuddin?
ROHANA: Ya.
SITI AZZAH: Setahu kamu, suami kamu ada berapa isteri?
ROHANA: Tiga isteri dan saya yang pertama, manakala kedua Azrin Abdullah dan ketiga Suzie.
SITI AZZAH: Suami ada beritahu dia akad nikah dengan Siti Zubaidah?
ROHANA: Tidak tahu.
SITI AZZAH: Kamu rasa perkahwinan itu sah ataupun tidak?
ROHANA: Tidak sah.
Mahkamah menetapkan 22 Disember ini untuk membuat keputusan berhubung tuntutan mufarakah pernikahan kanak-kanak terbabit dengan Sudin Ajaib.
No comments:
Post a Comment